Mantan Menteri Dalam Negeri, Peter Dutton yang juga bekas pegawai polis merupakan dalang gerakan untuk memaksa Turnbull berundur selepas parti pemerintah, Parti Liberal memberontak terhadap dasar liberalnya.

Bagaimanapun, selepas krisis dalaman itu berlarutan selama seminggu di Canberra, Morrison yang merupakan sekutu Turnbull dan Bendahari Parti Liberal, muncul pemenang undian parti dengan keputusan 45 berbalas 40.

Beliau secara rasmi mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Australia ke-30 petang semalam dalam satu upacara di Canberra.

Menteri Alam Sekitar, Josh Frydenberg yang dipilih sebagai Timbalan Presiden Parti Liberal turut mengangkat sumpah sebagai bendahari parti berkenaan.

Morrison mengganti­kan Turnbull yang menjadi pemimpin terbaru menjadi mangsa ‘tikam belakang’ oleh rakan-rakan politik yang bercita-cita tinggi.

Beliau mengakui bahawa situasi luar biasa di ibu negara Australia itu mengundang banyak masalah kepada Parlimen dan Parti Liberal.

“Tugas kami adalah untuk memastikan bahawa kami bukan sahaja dapat menyatukan semula parti yang bergolak pada minggu ini tetapi juga memastikan kami dapat mengukuhkan semula Parlimen,” katanya.

Menurut Perdana Menteri baharu tersebut, keutamaannya kini adalah untuk membantu golongan petani di negeri New South Wales yang bergelut menghadapi kemarau yang paling buruk dalam tempoh 50 tahun.

“Ini merupakan keperluan kami yang paling cemas dan mendesak sekarang,” ujar Morrison.

Dutton yang dituduh Turnbull sebagai membuli dan mengugut ekoran usaha beliau untuk menying­kirkannya pula berikrar akan ‘taat setia’ kepada Morrison.

Turnbull yang berikrar untuk berundur dari Parlimen selepas tempoh pemerintahan tiga tahunnya berakhir, terselamat daripada cubaan untuk menggulingkan beliau pada Selasa lalu tetapi menteri-menterinya kemudian membelot, mengakibatkan kerajaan pimpinannya dilanda krisis. – AFP