Serangan yang tidak menyebabkan sebarang kecederaan itu adalah kali kedua bulan ini dilakukan oleh pemberontak Houthi yang merupakan sekutu Iran.

Misil itu disasarkan ke bandar Khamis Mushait di selatan Arab Saudi selepas beberapa jam kumpulan pemberontak itu mengugut untuk bertindak balas ekoran sekatan yang melumpuhkan Yemen.

Pakatan ketenteraan yang dike­tuai Arab Saudi melaksanakan sekatan ke atas pelabuhan dan lapangan terbang susulan serangan misil balistik yang dipintas kerajaan itu pada 4 November lalu, namun diberi amaran oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu akan menyebabkan krisis kemanusiaan yang teruk di Yemen.

Serangan misil tersebut berkemungkinan meningkatkan lagi kempen ketenteraan pakatan itu yang menunjukkan konflik di Yemen semakin meruncing selain berisiko melangkaui sempadan dan mengancam bandar serta kampung-kampung di Arab Saudi.

Saluran televisyen Houthi, Al-Masira berkata, serangan pada Khamis lalu mengenai sasaran ketenteraan di Arab Saudi, namun pakatan itu menafikan dakwaan tersebut.

“Misil yang menuju ke arah bandar Khamis Mushait telah dipintas dan dimusnahkan tanpa sebarang kemalangan jiwa,” lapor Agensi Media Saudi memetik kata jurucakap pakatan tersebut, Turki al-Maliki.

Beberapa jam sebelum itu, ke­tua pemberontak Abdulmalik al-Houthi mengugut untuk bertindak balas atas sekatan tersebut sekiranya berlarutan. – AFP