Beliau dalam temu bual dengan akhbar Washington Post yang disiarkan semalam turut menyifatkan operasi itu sebagai ‘rawatan kemoterapi’ bagi memusnahkan sel-sel kanser rasuah di Arab Saudi.

Pihak berkuasa sebelum ini menahan berpuluh-puluh putera, pegawai tinggi dan ahli perniagaan selepas menerima arahan daripada Putera Mohammed pada November lalu.

Kesemuanya mereka ditahan di Hotel Ritz-Carlton. Kebanyakan tahanan termasuk jutawan Arab Saudi, Putera Alwaleed bin Talal dibebaskan selepas kerajaan mencapai persetujuan dalam bentuk penyelesaian kewangan.

Defisit negara itu pada tahun ini dianggarkan berjumlah AS$52 bilion (RM205 bilion).

“Anda mempunyai anggota badan dengan kanser berada di mana-mana sahaja. Kanser itu ialah rasuah. Anda perlu menjalani kimoterapi atau kanser kelak akan memakan badan anda.

“Putera-putera yang mengambil rasuah cuma minoriti tetapi pelakunya mendapat lebih banyak perhatian. Ia menjejaskan nama keluarga diraja,” kata beliau.

Bagaimanapun, hanya sekumpulan individu yang didakwa atas kesalahan spesifik selepas tindakan antirasuah yang didedahkan baru-baru ini.

Butiran penyelesaian kewangan turut dirahsiakan dan Reuters gagal mengesahkan anggaran kasar kerajaan.

Sementara itu, peguam negara berkata seramai 56 orang masih berada dalam tahanan. Mereka dipercayai akan dipindahkan ke penjara selepas enggan mengaku bersalah terhadap sebarang salah laku.

Putera Mohammed berkata, beliau akan terus menyokong keluarga diraja walaupun beberapa individu dalaman telah mendedahkan maklumat rahsia kepada awam apabila 11 putera telah ditahan pada bulan lalu.

Mereka didakwa atas kesalahan melakukan protes terhadap kerajaan susulan daripada tindakan pemoto­ngan bil utiliti mereka. – Reuters