Pelarian Rohingya berhimpun di surau-surau yang mereka bina di selatan Bangladesh untuk me­lakukan solat sunat Aidiladha dan menyembelih lembu di padang-padang berlumpur di kem tersebut.

Di Kutupalong, sebuah penempatan besar di atas sebuah bukit yang sesak dengan beratus-ratus ribu pelarian, seorang muazin me­laungkan azan ketika kanak-kanak berlari di lorong-lorong kotor dengan memakai baju baharu sempena hari istimewa itu.

Ramai pelarian Rohingya menyambut Hari Raya Aidiladha untuk kali pertama sejak mereka diusir dari barat Myanmar setahun lalu dalam kempen keganasan terancang yang dianggap oleh pegawai Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sebagai penghapusan etnik.

Tentera Myanmar yang diso­kong militia beragama Buddha mula memusnahkan kampung-kampung etnik minoriti Islam Rohingya pada Ogos 2017, beberapa hari sebelum ketibaan hari raya korban.

Ingatan kepada tanah airnya yang dibakar dan kesukaran me­nempuh hidup di Bangladesh, membayangi sambutan Aidil­adha untuk remaja berumur 19 tahun, Mohammad Issa. Dia ialah salah seorang daripada 700,000 etnik Rohingya yang me­larikan diri daripada kekejaman tersebut.

“Di Myanmar, kami mempu­nyai wang, kami memiliki lembu dan tanah. Sambutan Hari Raya Aidiladha lebih gembira di sana,” katanya di Kem Jamtoli yang merupakan sebuah penempatan baharu untuk pelarian yang baru tiba. – AFP