SEORANG penyelidik bergambar di sisi sebatang pokok cypress berusia lebih 2,000 tahun di sebuah kawasan paya di negeri Carolina Utara. The Nature Conservancy.

Pokok cypress tersebut ditemui di sebuah hutan dipenuhi pohon cypress di negeri Carolina Utara.

“Sememangnya terdapat beberapa batang pokok berusia lebih 2,000 tahun di kawasan ini berhampiran pekan Black River, Carolina Utara. Saya percaya ada juga pokok mencecah, jika tidak melangkaui, usia 3,000 tahun,” kata seorang saintis berkenaan, Profesor David Stahle dari Universiti Arkansas.

Beliau mengetuai pasukan penyelidik yang mengukur usia pokok-pokok cypress sepanjang tebing sungai tersebut pada tahun 2017 di kawasan yang dikenali sebagai Three Sisters Swamp milik pertubuhan alam semula jadi, The Nature Conservancy.

“Ini adalah antara segelintir hutan pokok tua yang masih tinggal di dunia. Mungkin ada 10, 20 atau 30 batang pokok yang hidup lebih 2,000 tahun di hutan paya ini,” tambah Stahle.

Pokok purba yang tidak dilindungi itu dan kualiti air di Black River kini terancam. Ancaman tersebut berpunca daripada pelbagai faktor termasuk industri pembalakan, pencemaran air dan pembangunan, kata Stahle dalam laporan penyelidikannya. – Agensi