Profesor Shaochen Chen dari Jabatan Kejuruteraan Nano yang mengetuai kajian tersebut memaklumkan alat yang cuma 5 sentimeter lebar itu dipasang pada kain lilit lengan, fleksibel dan ringan.

Ujian dalam suhu persekitaran antara 22 hingga 36 darjah Celsius menunjukkan alat itu mampu mengekalkan suhu peranti sekitar 32 darjah Celsius.

“Alat ini mampu mengekalkan satu suhu paling selesa mengikut individu tanpa mengganggu orang lain yang mungkin mahu suasana lebih sejuk atau lebih panas dalam sesebuah bilik atau bangunan,” katanya.

Lebih daripada 10 peratus penggunaan tenaga seluruh dunia dihabiskan untuk memanaskan atau menyejukkan sesebuah bangunan. Ciptaan termostat individu tersebut dijangka dapat menjimatkan kos, malah memberi lebih keselesaan ketika bekerja mahupun di rumah.

Kumpulan penyelidik itu menjangkakan mereka perlu memasang kira-kira 100 alat kecil itu pada satu ves untuk memberi tahap suhu selesa pada anggota badan tertentu khususnya pada belakang dan leher di samping sedang cuba mengurangkan kos pengeluaran yang masih mencecah beberapa ratus dolar bagi satu ves. – Agensi