Jurucakap polis, Ruwan Gunasekera berkata, sekurang-kurangnya tiga anggota polis cedera dalam pertempuran di Menikhinna, pinggir daerah Kandy yang menjadi pusat kekacauan baharu itu.

“Tujuh orang ditangkap kerana melanggar perintah berkurung dan cuba mencetuskan kekacauan di daerah berbilang etnik ini yang juga sebuah destinasi pelancongan popular,” katanya.

Sekolah di seluruh daerah Kandy, terletak sekitar 115 kilo­meter ke timur Colombo, terus ditutup semalam sementara kerajaan mengerahkan lebih ramai askar untuk membantu polis dan memben­dung kekacauan daripada merebak.

Kerajaan-kerajaan asing turut mengeluarkan amaran perjalanan susulan pengisytiharan darurat kelmarin dengan polis dan pasukan keselamatan diberi kuasa meluas untuk menangkap serta menahan suspek.

“Pengisytiharan darurat mungkin melibatkan perintah berkurung di lokasi-lokasi spesifik. Anda perlu berwaspada, mengelak tunjuk pe­rasaan dan perhimpunan serta mematuhi arahan keselamatan tempatan,” kata kerajaan Britain.

Jabatan Negara AS pula memberi amaran bahawa insiden lain mungkin berlaku dan menasihati rakyatnya yang berkunjung ke pulau itu (Sri Lanka) supaya meninjau media tempatan untuk laporan terkini.

Lebih 150 kediaman, kedai dan kenderaan dibakar semasa rusuhan dua hari itu dengan dua orang terbunuh

Sementara itu, situasi semakin tegang kelmarin selepas mayat seorang pemuda Islam berumur 24 tahun dibawa keluar dari sebuah bangunan yang hangus.

Rusuhan antara penduduk Islam dan komuniti Buddha Sinhala tercetus kelmarin selepas seorang lelaki Sinhala maut di tangan sekumpulan penduduk Islam minggu lalu. – AFP