“Saya tidak mahu sesiapa memikirkan bahawa ini satu permainan. Ukraine berdepan ancaman perang sepenuhnya dengan Rusia,” kata Poroshenko dalam satu wawancara bersama stesen televisyen kerajaan.

“Unit tentera Rusia yang dikerah ke sempadan Ukraine-Rusia meningkat secara mendadak, manakala jumlah kereta kebal Moscow pula bertambah tiga kali ganda,” kata Poroshenko.

Beliau bercakap selepas tentera Rusia merampas tiga kapal perang Kiev di perairan Crimea pada Ahad lalu dan menangkap 24 kelasi Ukraine.

Kelmarin sebuah mahkamah di bandar utama Crimea, Simferopol memerintahkan supaya 12 kelasi itu ditahan selama dua bulan sementara menunggu perbicaraan.

Dalam perkembangan berkaitan, Rusia akan menempatkan sistem peluru berpandu darat ke udara baharunya, S-400 ke Semenanjung Crimea dalam masa terdekat, agensi berita Interfax memetik Kementerian Pertahanan Rusia sebagai berkata semalam.

Perkembangan itu berlaku selepas Ukraine melaksanakan undang-undang tentera selama 30 hari di beberapa kawasan di negara berkenaan bagi memudahkan kawalan serta kerahan tentera dilakukan.

Sementara itu, tindakan Moscow merampas kapal perang Ukraine itu mengundang kritikan sekutu Ukraine, Amerika Syarikat dengan Presiden Do­nald Trump memberi amaran bahawa beliau mempertimbangkan untuk membatalkan sidang kemuncak bersama Presiden Rusia, Vladimir Putin.

Trump dijadualkan menemui Putin pada sidang kemuncak negara Kumpulan 20 (G20) di Buenos Aires hujung minggu ini. – AFP