Dalam insiden di luar jangkaan tersebut, Rusia menggunakan kekerasan terhadap kapal-kapal Ukraine itu yang didakwa memasuki perairannya secara haram sebelum melakukan penggeledahan, kata agensi keselamatan Rusia, FSB.

Krisis itu berlaku kelmarin ketika dua kapal perang kecil dan sebuah bot tunda Ukraine belayar di Selat Kerch, sebuah terusan sempit menuju ke Laut Azov yang digunakan oleh Ukraine dan Rusia.

Ukraine menyatakan, sebuah kapal pengawal pantai Rusia merempuh bot tunda itu secara agresif dan melepaskan tembakan terhadap kedua-dua kapal perang Ukraine tersebut.

Menurut Kiev, laluan di Selat Kerch disekat menggunakan sebuah kapal tangki, manakala pesawat perang Rusia berlegar di kawasan itu.

Kementerian Luar Ukraine berkata, tindakan agresif itu mencabuli undang-undang antarabangsa dan akan berdepan tindak balas diplomatik serta undang-undang antarabangsa oleh Kiev.

Rusia menuntut perairan di sekitar Crimea selepas merampas semenanjung tersebut pada tahun 2014.

“Selepas menceroboh sempadan Rusia pagi ini (kelmarin), ketiga-tiga kapal Ukraine iaitu Berdyansk, Nikopol dan Yani Kapu sekali lagi cuba melakukan tindakan melanggar undang-undang perairan Rusia pada pukul 7 malam (waktu Moscow) hari yang sama,” kata FSB kelmarin.

Ukraine menyatakan, enam askarnya cedera, dua daripada mereka parah tetapi FSB melaporkan bahawa hanya tiga anggota tentera Ukraine cedera ringan dan diberikan rawatan perubatan.

Rampasan itu mencetuskan kebimbangan Barat yang menjadi sekutu Ukraine.

“Kami meminta Rusia memulihkan kebebasan belayar di Selat Kerch dan menggesa semua pihak terbabit supaya bertenang bagi meredakan situasi tersebut segera,” kata Kesatuan Eropah dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Majlis Keselamatan PBB dijadualkan mengadakan mesyua­rat tergempar semalam bagi membincangkan krisis tersebut, kata Duta Amerika Syarikat ke PBB, Nikki Haley.

Mesyuarat itu diminta oleh kedua-dua Rusia dan Ukraine. – AFP