Jawatankuasa Siasatan Rusia berkata, ia akan meneliti penjelasan seperti kesilapan manusia, kegagalan teknikal dan keadaan cuaca, namun tidak menyebut tentang keganasan sebagai punca nahas.

Pesawat jenis Antonov An-148 itu jatuh di Kampung Stepanovskoye dalam daerah Ramensky, pinggir Moscow pukul 2.48 petang (waktu tempatan) selepas berlepas dari Lapangan Terbang Domodedovo di ibu kota Rusia berkenaan.

Tiga kanak-kanak adalah antara korban nahas itu dalam senarai yang disiarkan oleh pihak berkuasa Rusia.

Penerbangan itu dikendalikan oleh syarikat penerbangan domestik, Saratov Airlines dan menuju ke Orsk, sebuah bandar di pergunungan Ural.

Menteri Pengangkutan Rusia, Maksim Sokolov berkata, kepakaran genetik diperlukan untuk membantu mengenal pasti identiti mangsa, manakala proses itu dianggarkan mengambil masa antara dua hingga tiga bulan.

Pesawat buatan Rusia yang terhempas itu dilaporkan berusia tujuh tahun dan dibeli oleh Saratov Airlines daripada sebuah syarikat penerbangan domestik lain setahun lalu.

Saratov Airlines yang diasaskan dalam tahun 1930-an terbang ke 35 buah bandar di Rusia dan berpangkalan di Lapangan Terbang Pusat Saratov, selatan negara itu.

Terdahulu, Presiden Rusia, Vladimir Putin mengucapkan takziah kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam nahas tersebut, kata jurucakapnya, Dmitry Peskov.

Putin juga membatalkan rancangan beliau untuk berlepas ke bandar Sochi bagi menemui pemimpin Palestin, Mahmoud Abbas.

Pertemuan mereka sebaliknya akan berlangsung di Moscow. – AFP