Robot Eksperimen Terakhir Demonstrasi Penyelidikan Objek (Fedor) dengan nombor identifikasi Skybot F850 merupakan humanoid pertama dihantar ke ISS oleh Rusia.

Fedor menaiki kapal angkasa lepas Soyuz MS-14 pada pukul 6.38 pagi (waktu tempatan) yang dilancarkan dari Kosmodrom Baikonur milik Rusia di Kazakhstan.

Kapal angkasa Soyuz itu dijadualkan mendarat di ISS di orbit rendah Bumi hari ini. Fedor akan berada di stesen angkasa lepas itu hingga 7 September depan.

Robot berwarna perak itu memiliki ketinggian 1.8 meter dan berat 160 kilogram.

Fedor mempunyai akaun Instagram dan Twitter yang menunjukkan ia mempelajari kemahiran baharu seperti membuka penutup botol. Robot tersebut juga akan mencuba kemahiran itu di bawah graviti rendah.

“Fedor juga akan menyambung dan mencabut kabel elektrik dan menggunakan peralatan standard seperti pemutar skru, sepana dan alat pemadam api,” kata Pengarah Program Prospektif dan Sains agensi angkasa lepas Rusia, Alexander Bloshenko.

Robot tersebut lambat-laun akan melakukan operasi berbahaya seperti berjalan di angkasa lepas, kata Bloshenko kepada agensi media rasmi Rusia, RIA Novosti. – AFP