Dalam satu perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Iran, Hassan Rouhani, kedua-dua mereka bersetuju bahawa serangan Barat menjejaskan peluang untuk mencapai penyelesaian politik kepada konflik tujuh tahun di Syria, demikian menurut kenyataan Kremlin.

“Putin menegaskan bahawa jika tindakan yang diambil itu mencabuli Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia pasti membawa kepada keadaan huru-hara dalam hubungan antarabangsa,” kata kenyataan sama.

Duta Amerika Syarikat (AS) ke PBB, Nikki Haley memberitahu program televisyen terbitan CBS, Face the Nation bahawa AS mengumumkan sekatan ekonomi baharu semalam terhadap ‘syarikat yang menjual peralatan’ berkaitan dakwaan penggunaan senjata kimia oleh rejim Presiden Bashar al-Assad.

Pada Sabtu lalu, AS, Britain dan Perancis melancarkan sejumlah 105 misil ke atas apa yang dikatakan oleh Pentagon sebagai tiga kemudahan senjata kimia di Syria sebagai tindak balas terhadap dakwaan serangan gas di bandar Douma, dekat Damsyik pada 7 April lalu.

Barat menyalahkan Bashar dalam kejadian di Douma yang mengorbankan berpuluh-puluh nyawa. Kerajaan Syria dan sekutunya, Rusia menafikan terlibat dalam serangan itu.

Pengeboman itu merupakan campur tangan terbesar oleh Barat ke atas Bashar dan sekutunya, Rusia. – Reuters