Menurut laporan, Kubu Igloo yang mempunyai 575 unit kubu bawah tanah dengan jumlah keluasan tanah menyamai bandar Manhattan itu dijenamakan semula sebagai Vivos xPoint.

Vivos xPoint mampu menampung seramai 10,000 penghuni sebaik sahaja proses naik taraf selesai. Beberapa kubu pula dijadikan sebagai restoran, tempat barbeku dan kandang kuda.

Setiap unit kubu kediaman yang boleh menempatkan seramai 24 orang itu ditawarkan pada harga AS$25,000 (RM97,700) dilengkapi pelbagai kemudahan bertaraf mewah.

Antara kemudahan termasuk gedung beli-belah, pawagam, spa, gimnasium, klinik perubatan, bilik darjah, kawasan latihan menembak dan taman.

Kawasan itu diawasi 24 jam, tujuh hari seminggu oleh pengawal keselamatan yang menerima latihan tentera, sistem kamera pengawasan dan pagar keselamatan.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif VIVOS, Robert K. Vicino menyatakan pembeli unit itu bukan terdiri daripada kalangan yang mengalami para­noia tetapi mahu ‘berjaga-jaga’. – Agensi