Ronaldo, 33, dijangka menjalani ujian perubatan di Turin minggu depan sebelum melengkapkan perpindahan itu dengan kontrak lumayan dianggarkan bernilai AS$340 juta (RM1.37 bi­lion) untuk tempoh empat tahun.

“Real mengucapkan te­rima kasih kepada Ro­nal­do yang telah membuktikan dirinya sebagai pemain terbaik dunia dan juga salah seorang le­genda dalam sejarah kelab ini serta bola sepak dunia,” menurut kenyata­an Real.

Juventus dikatakan per­­lu membayar yuran perpindahan berjumlah AS$140 juta (RM563.6 juta) de­ngan kapten Portugal tersebut bakal me­nerima gaji tahunan bernilai AS$35 juta (RM140.9 juta).

Ia tidak termasuk bonus dan insentif yang dijangka keseluruhan men­­cecah AS$64 juta (RM257.6 juta) setahun, sekali gus menyaksikan Ronaldo sanggup mene­rima potongan gaji di Juventus berbanding AS$66 juta (RM265.6 juta) yang mahu dibayar Real jika dia kekal.

Bekas bintang Manchester United itu berharap para penyokong­nya dan juga peminat tegar Real memahami keputusannya untuk berhijrah menyertai Juventus.

“Saya merasakan sudah sampai masanya untuk membuka ‘buku baharu’ dalam karier saya. Saya berharap semua orang terutama penyokong saya faham situasi ini,” jelas­nya.

Sepanjang bersama Real, Ronaldo menjulang empat gelaran Liga Juara-Juara, dua kejuara­an La Liga, dua Piala Raja Sepanyol, dua Piala Supercopa Sepanyol, dua Piala Super Eropah dan tiga Piala Kelab Dunia sejak menyertai pasukan itu pada 2009. – Agensi