Diberikan nama Fedor sebagai singkatan Penyelidikan Demonstrasi Eksperimen Akhir, robot itu dilihat menjalani ujian ketahanan bateri di Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan baru-baru ini.

Robot itu dimaklumkan mampu menetapkan sasaran dan melatih diri dalam perkara tertentu seperti memandu. Kapal angkasa Soyuz MS-14 yang akan membawa robot tersebut dijangka berlepas pada 22 Ogos ini.

Fedor mempunyai ketinggian sekitar 180 sentimeter dan berat kira-kira 105 kilogram (kg) dengan kemampuan mengangkat barang kargo seberat 20kg.

Robot itu juga mampu merangkak, bangun semula jika terjatuh, masuk dan keluar dari tempat duduk pemandu kereta, menggunakan pelbagai jenis peralatan serta beroperasi seperti biasa dalam sesebuah bangunan.

“Dalam misi di angkasa lepas dan mungkin di planet-planet lain, angkasawan mungkin memerlukan bantuan robot,” jelas ketua projek tersebut dan juga Pengarah Pusat Pembangunan Teknologi dan Robotik Asas Kebangsaan Rusia, Sergei Khurs.

Fedor telah didedahkan kepada dunia pada Disember 2016 dan menjadi antara pelan strategik Presiden Rusia, Vladimir Putin untuk ‘menguasai’ Bulan terlebih dahulu berbanding negara lain.

Putin sebelum ini turut mengarahkan pakar angkasa lepas Rusia untuk memastikan Fedor dapat dihantar ke Bulan dalam tempoh 15 tahun. 
– Agensi