Kira-kira 550 penerbangan keluar dan masuk dari Lapangan Terbang Antarabangsa John F Kennedy (JFK) iaitu hampir 42 peratus daripada jumlah yang dijadualkan telah dibatalkan pada pukul 7 malam (waktu tempatan).

Pembatalan itu turut melibatkan 700 penerbangan dari Lapangan Terbang Ne­wark di New Jersey dan Lapangan Terbang La Guardia di New York yang mengendalikan penerbangan domestik, me­nurut laman pengesanan penerbangan FlightAware.

Lapangan terbang di Boston dan Philadelphia turut terjejas dengan hampir 20 peratus penerbangan terpaksa dihentikan.

Hanya beberapa senti­meter (sm) salji turun di JFK, tetapi terdapat 30sm salji di banyak kawasan kejiranan di tengah New York dan mencecah 50sm di kawasan luar bandar ne­geri New York, New Jersey dan Connecticut, menurut Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan (NWS).

Ketika suhu dijangka kekal pada paras beku, NWS turut memberi amaran salji tebal, banjir pesisiran pantai dan angin kencang di rantau berkenaan.

Pada waktu petang, cuaca berkabus pula membuatkan perjalanan di kawasan sekitar Bandar Raya New York hampir tidak mungkin dapat dilakukan, kata NWS.

Para pemandu di negeri-negeri yang terjejas digesa tidak melakukan sebarang perjalanan. Polis New Jersey memaklumkan terdapat 356 kemalangan berlaku antara tengah malam hingga pukul 4 petang.

Sementara itu, perjalanan kereta api turut terganggu kerana pengendali Amtrak bertindak membatalkan beberapa perkhidmatan kereta api di antara Washington dan Boston. – AFP