Pabuk, ribut tropika pertama Thailand dalam tempoh 30 tahun membawa angin selaju 75 kilometer sejam dan hujan lebat ketika membadai negara tersebut kelmarin, sekali gus menyebabkan tiang-tiang elektrik tumbang serta banjir di beberapa kawasan.

Seorang nelayan terkorban di wilayah Pattani awal kelmarin selepas ombak besar membadai bot yang dinaikinya, manakala seorang lagi nelayan dilaporkan masih hilang. Seorang lelaki ber­umur 35 tahun meninggal dunia selepas sebatang pokok tumbang dan menghempap kediamannya di sini.

“Tidak ada laporan kematian diterima. Saya yakin pelancong boleh meninggalkan kawasan (terjejas) selepas perkhidmatan feri dan penerbangan kembali beroperasi,” kata Ketua Wilayah Koh Samui, Kittipop Roddon.

Bagaimanapun, amaran ben­dera merah yang melarang orang ramai berenang di kawasan pantai dan pulau-pulau pelancongan masih belum ditarik balik.

“Semuanya sudah berakhir. Semua 10,000 pelancong selamat. Saya berasa lega,” kata Ketua Wilayah Kejiranan Koh Phangan, Krikkrai Songthanee kepada agensi berita AFP.

Sementara itu, Penerbangan Bangkok Airways, yang memonopoli lapangan terbang di Koh Samui, menyambung semula operasi awal pagi semalam dan menambah bilangan penerba­ngan untuk membantu penumpang yang terkandas.

Lapangan-lapangan terbang di wilayah Nakhon Si Thammarat dan Surat Thani kembali ber­operasi pada tengah hari semalam.

Sebilangan besar perkhidmatan feri ke pulau-pulau pelancongan di selatan Thailand turut beroperasi semula selepas tergendala akibat ribut tropika Pabuk.

Kelmarin, ribut Pabuk membadai kawasan selatan Thailand, sekali gus menyebabkan beberapa lapangan terbang ditutup di wilayah Nakhon Si Thammarat, Surat Thani dan di pulau percutian Koh Samui dengan semua penerbangan dibatalkan.

Pabuk beransur lemah sejak semalam dan Jabatan Meteorologi Thailand mengekalkan amaran hujan lebat dan kemungkinan banjir lumpur berlaku di sembilan buah wilayah negara itu.

“Angin kuat diramal dengan ombak setinggi 3 hingga 5 meter di Teluk dan Laut Andaman,” menurut agensi itu dalam satu kenyataan yang meminta agar semua kapal dan bot nelayan kekal berlabuh di pesisir pantai. – AFP/Reuters