Sam Broadbent, 18, menggambarkan dirinya sebagai seorang entovegan dan mengamalkan diet vegetarian dengan tambahan serangga seperti belalang, cengkerik dan semut.

Dia berhenti memakan daging sejak Oktober tahun lalu. Broadbent juga berhenti mengambil sebarang produk haiwan ternakan sejak Januari tahun ini. Remaja itu kini mengambil minuman protein bercampur serbuk cengkerik hancur sebagai sumber proteinnya.

Pelajar sekolah menengah dari bandar Lewiston itu meninggalkan makanan kegemarannya, daging panggang bersama ubi keledek dan menggantikannya dengan burrito belalang rangup.

Ayam dan sandwic keju yang menjadi makanan rujinya untuk tengah hari digantikan dengan semangkuk cengkerik dicampur kekacang.

Untuk sarapan, Broadbent memakan bubur dan buah-buahan dicampur serbuk cengkerik.

Pada hari tertentu pula, keluarganya akan memanggang kala jengking yang dimakan dalam bentuk burger.

Remaja itu yang bersenam enam kali seminggu berkata, dia tidak pernah berasa lebih sihat, malah mampu mengangkat berat hampir dua kali ganda berbanding sebelum ini.

“Saya berhenti memakan semua jenis daging pada Oktober 2018, manakala pada Januari lalu, saya menjadi vegetarian sepenuhnya kecuali menambah menu serangga. Selepas mengamalkan diet ini sepanjang musim sejuk dan musim bunga, saya berasa paling sihat,” katanya.

Broadbent mula meminati amalan memakan serangga pada tahun 2015 selepas dia membantu bapanya Bill, 59, membuka pasar serangga secara online, Entosense. - Agensi