Remaja berusia 16 tahun tersebut sebelum itu diculik dari rumahnya semasa keluarga gadis itu keluar untuk menghadiri perkahwinan dan dirogol oleh dua lelaki berkenaan di kawasan hutan di negeri Jharkhand pada Khamis lalu, kata seorang pegawai polis tempatan.

Keluarga mangsa kemudian membuat aduan kepada majlis penduduk tempatan kampung tersebut pada Jumaat lalu menyebabkan tertuduh dihukum melakukan 100 kali bangkit tubi dan membayar denda 50,000 rupee (RM2,948) kepada ibu bapa mangsa.

Majlis penduduk dianggotai orang yang lebih berusia bagi menyelesaikan perselisihan faham dalam sesuatu komuniti.

Walaupun mereka tidak mempunyai hak menjatuhkan hukuman, majlis tersebut mempunyai pengaruh besar dalam kalangan penduduk di kawasan luar bandar.

Menurut polis, hukuman tersebut menyebabkan kedua-dua lelaki tersebut berang lalu memukul ibu bapa mangsa sebelum membakar remaja tersebut.

“Kedua-dua lelaki itu mem­belasah ibu bapa mangsa dan bergegas ke rumah mereka sebelum membakar remaja tersebut dengan pertolongan rakan-rakan mereka,” kata pegawai polis di balai polis tempatan, Ashok Ram.

“Suspek kemudian melarikan diri. Satu pasukan khas ditubuhkan bagi menyiasat kes itu,” katanya.

Protes antirogol diadakan di seluruh India sejak kematian ngeri seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang dirogol secara berkumpulan dan dibunuh di Jammu Kashmir.

Sebanyak 40,000 kes rogol dilaporkan pada 2016 dan dipercayai banyak lagi kes tidak dilaporkan kerana stigma jenayah seksual memberi kesan yang negatif dalam sistem masyarakat India. – AFP