White House dan pegawai-pegawai tentera mengesahkan bahawa perancangan untuk acara itu sedang dilakukan tetapi belum ada tarikh diputuskan.

Wakil-wakil rakyat Parti Demokrat mengecam rancangan Trump sebagai ‘idea bodoh’, ‘kuku besi’ dan ‘Napoleon dalam pembikinan’.

Sementara itu, sokongan kepada idea tersebut juga amat sedikit walaupun dalam kalangan penyokong Trump di Kongres.

Senator Parti Republikan, Lyndsey Graham memberitahu pemberita di Capitol Hill bahawa perarakan itu munasabah sekiranya memenuhi beberapa syarat.

“Saya tidak mahu pameran aset ketenteraan mirip bekas negara Kesatuan Soviet. Itu bukan cara kita. Saya berpendapat perarakan seperti itu sebaliknya menunjukkan kelemahan.

“Namun, kita boleh mengadakan perarakan untuk menonjolkan (pasukan tentera AS) yang terbaik dan kita semua boleh mengucapkan ‘terima kasih’ serta menghargai mereka, ini lebih baik,” katanya.

Anggota Kongres utama daripada Parti Republikan yang juga sekutu Trump, Jim Jordan pula berkata, pertimbangan lanjut diperlukan.

“Kami akan adakan perdebatan mengenai isu ini,” katanya.

Walaupun perarakan tentera menjadi tumpuan dalam kalendar tahunan di Moscow, Pyongyang dan Paris, ia amat jarang diadakan AS di mana paparan patriotisme lazimnya dilakukan dalam bentuk kibaran bendera, pertunjukan bunga api dan memanggang hot dog.

Kali terakhir perarakan tentera berskala besar diadakan di Washington ialah pada tahun 1991 selepas Perang Teluk apabila kereta kebal dan kenderaan pengangkut peluru berpandu berarak di jalan-jalan di ibu kota AS berkenaan.

Ironinya, sebagai Presiden AS, Trump boleh sahaja mengarahkan tentera mengadakan perarakan itu walaupun memerlukan kelulusan Kongres. Perarakan tentera seumpamanya bukan sahaja mempamerkan kekuatan AS tetapi juga menonjolkan Trump sebagai komander tertinggi tentera negara kuasa besar tersebut. - AFP