Lebih 250 senjata api berjaya dikumpul di Christchurch menerusi skim yang dilancarkan di seluruh negara selepas 51 jemaah ditembak mati semasa mengerjakan solat di dua buah masjid, kira-kira empat bulan lalu.

Kerajaan New Zealand dengan sokongan parti-parti pembangkang segera merangka satu rang untuk mengetatkan lagi undang-undang persenjataan di New Zealand.

Menteri Polis, Stuart Nash menyatakan objektif skim itu adalah untuk mengeluarkan senjata api paling berbahaya daripada pengedaran.

Pasukan polis bersenjata me­ngawal program serahan balik itu. Seramai 169 pemilik me­nyerahkan sejumlah 224 senjata api dan 217 komponen dan aksesori berkaitan. Alat-alat senjata itu kemudiannya dihancurkan menggunakan mesin pemampat hidraulik.

Lebih NZ$433,600 (RM1.2 juta) dibayar sebagai pampasan kepada semua pemilik yang menyerahkan senjata api mereka.

Komander polis wilayah, Mike Johnson menyatakan seramai 903 pemilik senjata di wilayah Canterbury termasuk Christchurch sudah mendaftar untuk menyerahkan sebanyak 1,415 senjata api.

“Kami menerima maklum balas positif daripada rakyat ketika mereka hadir untuk membuat serahan. Sikap pemilik senjata di Canterbury terhadap proses ini amat luar biasa,” katanya.

Pemilik senjata api berlesen mempunyai masa selama enam bulan untuk menyerahkan senjata masing-masing menerusi skim itu dan diberi pengampunan dengan jaminan bahawa mereka tidak akan didakwa sepanjang tempoh pembelian balik itu.

Selepas tempoh itu tamat, mereka yang memiliki senjata api yang diharamkan boleh dihukum penjara hingga lima tahun.

Warga Australia, Brenton Tarrant kini didakwa membunuh dan dipercayai menggunakan lima senjata termasuk dua raifal separa automatik ala tentera dalam serangan ke atas dua buah masjid.

Dia mengaku tidak bersalah atas tuduhan keganasan, 51 dakwaan pembunuhan dan 40 cubaan membunuh. - AFP