Laporan kelima Program Pengawasan Dadah Air Kumbahan Nasional (NWDMP) yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Perisikan Jenayah Australia (ACIC) semalam mendedahkan bahawa Australia berada di tangga kedua tertinggi senarai pengambilan dadah dalam kalangan 23 negara seumpamanya.

Laporan itu mendapati rakyat Australia mengambil 8,300kg dadah jenis methylamphetamine, 3,000kg kokain, 1,200kg ekstasi dan 700kg heroin dalam tempoh 12 bulan antara Ogos 2016 hingga Ogos tahun lalu, lapor agensi berita Xinhua.

Ketua ACIC, Michael Phelan berkata, rakyat Australia menjadi mangsa penyeludupan dadah oleh kumpulan-kumpulan penjenayah terancang.

“Kumpulan penjenayah berat rentas negara mendapat keuntungan besar hasil aktiviti mengimport, mengedar, mengilang dan menjual dadah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Laporan itu turut mendedahkan bahawa pengambilan ubat tahan sakit, fentanyl adalah tertinggi sejak program tersebut diwujudkan dengan pengambilan di kawasan luar bandar meningkat dua kali ganda antara April 2017 dan April 2018.

“Walaupun pengambilan fentanyl yang diukur menerusi program NWDMP merangkumi penggunaan menurut undang-undang dan secara haram, peningkatan pengambilan ubat tahan sakit itu membimbangkan kerana meningkatkan risiko pengambilan berlebihan,” kata ACIC. – Bernama