Ikan jerung paus yang merupakan spesies ikan terbesar di dunia itu dirakam semasa berenang di perairan jernih di Terumbu Ningaloo, kira-kira 6 kilometer ke luar pantai Australia Barat dekat sini.

Bidikan luar biasa oleh jurugambar profesional, Tom Cannon, 26, pada jarak yang terlalu dekat itu sebenarnya amat berbahaya, malah dia dianggap sengaja mempertaruhkan nyawanya.

“Saya tidak takut sebaliknya kami berenang bersama-sama dan sejumlah pelancong yang berada di atas bot kelihatan teruja ketika menyaksikan tingkah laku jerung itu.

“Ia merupakan sejenis ikan yang sangat jinak dan tidak bahaya sebaliknya manusia adalah ancaman terbesar kepada haiwan ini ekoran peningkatan pencemaran laut,” katanya.

Ikan jerung paus dikatakan bergerak secara perlahan selain mampu membesar sepanjang 12 meter dan seberat 18 tan. – Agensi