Kenyataan daripada Kementerian Luar Doha berkata, wang itu telah dicagarkan melalui Dana Pembangunan Qatar, badan kerajaan yang bertanggungjawab mengagihkan bantuan kepada negara luar.

“Di bawah arahan Emir Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad al-Thani, Dana Pembangunan Qatar telah menjanjikan AS$150 juta bantuan kemanusiaan untuk mengurangkan krisis kemanusiaan di Semenanjung Gaza yang terkepung,” kata kementerian itu.

Menurut kenyataan itu, Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengawasi pengagihan bantuan tersebut.

PBB menganggarkan nilai sumbangan minyak terdahulu Qatar berjumlah AS$60 juta (RM249 juta).

Badan dunia itu berkata, sekatan yang dikenakan oleh Israel selama 11 tahun ke atas wilayah yang dikuasai oleh gerakan Islam Hamas itu telah mengakibatkan kehidupan di Gaza seolah-olah ditimpa ‘malapetaka’.

Dua juta penduduk Gaza hidup dalam keadaan menderita termasuk kekurangan air minuman bersih dan kekerapan pemotongan kuasa elektrik, sebahagiannya disebabkan oleh kekurangan bahan bakar untuk stesen jana kuasa di genting itu.

Penduduk Gaza telah mengadakan protes secara kerap sejak Mac lalu di sepanjang sempadan wilayah Israel sehingga mencetuskan siri tembakan yang mengorbankan ratusan nyawa. – AFP

SEBUAH kereta PBB mengekori lori bahan api sewaktu tiba di loji jana kuasa di tengah Genting Gaza, Palestin pada Selasa lalu.