Makam berusia lebih 2,000 tahun itu ditemui di bandar Akhmim dan dipercayai milik seorang pembesar kerajaan pada masa itu.

“Ini adalah salah satu penemuan yang paling menarik di kawasan tersebut,” kata Setiausaha Agung Majlis Tertinggi Antikuiti di bawah kementerian tersebut, Mostafa Waziri.

Satu mumia manusia turut ditemui di dalam makam purba tersebut bersama lebih daripada 50 mumia tikus, kucing dan helang yang hidup pada era Ptolemy.

Industri pelancongan Mesir merosot sejak beberapa tahun kebelakangan ini dan Kementerian Antikuiti mengatakan acara yang diadakan pada Jumaat lalu bertujuan menarik perhatian dunia terhadap peradaban dan barangan antik Mesir.

Tapak-tapak warisan yang banyak terdapat di negara itu merupakan tarikan utama pelancong dan kementerian itu menyifatkan Sohag sebagai salah sebuah bandar yang mempunyai nilai sejarah yang tinggi di Mesir apabila sebuah muzium dibuka tahun lalu.

Politik yang tidak stabil dan serangan maut sejak revolusi tahun 2011 menyebabkan kemerosotan bilangan pelancong walaupun terdapat sedikit peningkatan beberapa tahun kebelakangan ini.

Pihak berkuasa sering meraikan pe­nemuan baharu, namun Mesir kerap dituduh cuai menjaga warisan buda­yanya dan kurang ketelitian saintifik. ­– AFP