Pasukan saintis yang melawat pulau itu baru-baru ini menemui beratus-ratus burung yang dikenali sebagai ‘sooty tern’ bersarang di sepanjang kawasan tebingnya.

“Kebanyakan kawasan pulau ini dipenuhi batu kerikil hitam dengan saiznya hanya sebesar kacang pis,” kata saintis Pusat Penerbangan Angkasa Lepas Goddard di bawah Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Dr. Dan Slayback kepada blog Earth Expeditions.

Pulau yang dikenali penduduk tempatan sebagai Hunga Tonga-Hunga Ha’apai itu muncul di tengah-tengah antara dua lagi pulau dibentuk daripada letusan gunung berapi dasar laut, kira-kira 30 kilometer di tenggara Tonga.

Bagaimanapun, saintis memaklumkan pulau baharu itu mula dihakis hujan serta ombak laut dan mereka tidak pasti berapa lama lagi sebelum pulau tersebut hilang bersama kepelbagaian hidupan liar yang hidup di atasnya. – Agensi