Jet Boeing 737 Max yang merupakan antara pesawat komersial terbaru dan paling canggih di dunia itu terhempas di Laut Jawa pada 29 Oktober lalu selepas berlepas dari Jakarta menuju ke bandar Pangkal Pinang dengan mengorbankan kesemua 189 penumpang dan kru penerbangan.

Sejak itu, pasukan penyiasat telah mela­kukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) pada cebisan mayat mangsa yang ditemui.

Ketua pusat perubatan polis nasional, Arthur Tampi berkata, setakat semalam, identiti seramai 125 mangsa telah dikenal pasti menerusi ujian DNA pada cebisan tubuh manusia yang dikumpulkan di dalam 200 beg mayat.

“Kami mengenal pasti identiti 89 lelaki dan 36 wanita termasuk dua warga asing masing-masing dari Itali dan India yang merupakan juruterbang pesawat dan pembantunya, kata Tampi kepada pemberita di Jakarta.

Proses pengecaman ditamatkan kera­na semua cebisan mayat yang ditemui telah diuji, tambahnya.

Sementara itu, pengurusan syarikat penerbangan tambang murah Lion Air berkata, pihaknya membayar pampasan melebihi AS$100,000 (RM419,630) kepada setiap waris mangsa.

Perakam data penerbangan JT610 itu telah dijumpai, namun pasukan penyelam masih mencari rakaman suara kokpit.

Laporan awal rasmi mengenai punca nahas itu pula akan diumumkan oleh pihak berkuasa Indonesia selewat-lewatnya Rabu depan. – AFP