“Hitler sebenarnya mewakili syaitan. Dia adalah syaitan di muka bumi ini,” kata Rivlin semasa pertemuan mereka di pejabatnya di Baitulmuqaddis.

Rivlin kemudian menyatakan bahawa lawatan Duterte ke Memorial Holokus Yad Vashem di Israel kelmarin telah memberikan gambaran kepada beliau tentang sensitiviti berhubung sebarang persamaan dengan Hitler.

Duterte kelihatan memberikan perhatian terhadap komen ringkas Rivlin tersebut.

Presiden Filipina itu kemudian bercakap tentang perdagangan dan kerjasama dengan Israel.

Duterte menyebut tentang Hitler pada tahun 2016 apabila bercakap mengenai kempen ganas beliau membanteras dadah yang mengakibatkan beribu-ribu orang terbunuh.

“Hitler membunuh seramai tiga juta orang Yahudi. Kini (2016) terdapat tiga juta penagih dadah (di Filipina). Saya gembira untuk membunuh mereka,” kata Duterte ketika itu.

Sebilangan pakar sejarah menyatakan bahawa seramai enam juta penduduk Yahudi terbunuh dalam Holokus.

Duterte kemudian meminta maaf dan berkata, kenyataan beliau ditujukan kepada pengkritik-pengkritik yang menyamakan dirinya dengan pemimpin Nazi tersebut.

Menurut pejabat Rivlin, Duterte turut memberitahu Rivlin bahawa beliau lebih suka membeli peralatan tentera dari Israel.

Sementara itu, beberapa puluh orang yang menentang penjualan senjata kepada Filipina menunjuk perasaan di perkarangan pejabat Presiden Israel semasa pertemuan tersebut.

“Kami membantah penglibatan Israel dalam jenayah yang berlaku di sana (Filipina),” kata peguam dan aktivis hak asasi manusia, Eitay Mack. – AFP