“Kita (AS) membayar warga Pa­lestin ratusan juta dollar setahun dan kita tidak mendapat penghargaan ataupun penghormatan.

“Oleh kerana warga Pa­lestin tidak lagi mengimpikan rundingan damai, kenapa kita masih perlu membuat pembayaran besar ini kepada mereka?” kata Trump dalam mesej di laman Twitter.

Setakat ini, masih tidak pasti sama ada Trump mengugut untuk menyekat semua dana kepada Palestin yang dianggarkan berjumlah AS$319 juta (RM1.28 bilion) pada 2016, demikian menurut angka kerajaan AS.

“Kami tidak akan tunduk kepada ugutan,” kata pegawai kanan Pa­lestin, Hanan Ashrawi pula dalam satu kenyataan balas semalam.

“Trump telah mensabotaj usaha kami untuk mengecapi perdamaian, kebebasan dan keadilan. Sekarang, beliau berani menyalahkan rakyat Palestin atas kesan buruk daripada tindakan tidak bertanggungjawabnya,” tambah Hanan.

Washington sudah lama menghulurkan sokongan kewangan dan keselamatan kepada Palestin termasuk dana AS$304 juta (1.22 bilion) bagi program bantuan di Tebing Barat dan Genting Gaza.

Apabila menduduki White House tahun lalu, Trump dengan megah berkata, beliau akan mengusahakan ‘perjanjian muktamad’ yang dapat memastikan perdamaian di rantau Asia Barat walaupun pencapaian itu gagal dilakukan oleh Presiden-Presiden AS sebelumnya sejak akhir tahun 1960-an.

Selain Palestin, Trump baru-baru ini mengugut untuk menghentikan bantuan kewangan kepada negara yang menyokong draf resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Baitulmuqaddis.

Draf resolusi itu mendesak AS menarik balik keputusannya mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. – AFP