Selama hampir dua tahun, pentadbiran Trump, yang tidak me­ngendahkan undang-undang dan kadangkala kelam-kabut, mendapat kebebasan penuh daripada kedua-dua Dewan Perwakilan dan Senat yang dikuasai Republikan, namun, pilihan raya separuh penggal semalam mungkin menyaksikan semua itu berubah.

Pilihan raya tersebut menyaksikan perebutan 435 kerusi Dewan Perwakilan dan satu pertiga daripada 100 kerusi di Dewan Senat.

Menurut hampir semua firma tinjauan pendapat, Parti Demokrat mempunyai peluang cerah untuk memenangi Dewan Perwakilan, manakala Parti Republikan pula dijangka mengekalkan majoritinya di Senat.

Bagaimanapun, peratusan pe­ngundi yang keluar mengundi dan impak daripada dasar berani Trump dilihat sebagai faktor kejutan pada pilihan raya kali ini.

Selepas kempen yang menyaksikan Trump dituduh memainkan sentimen perkauman ekoran berulang kali memberi amaran dan menakutkan rakyat AS mengenai ‘pencerobohan pendatang asing’, pengundi di negara kuasa besar itu berpecah mengenai sokongan mereka.

Walaupun tidak bertanding, Trump menjadikan dirinya tumpuan pada pilihan raya tersebut. Presiden AS itu sibuk mengadakan perhimpunan politik, malah, kelmarin sahaja menyaksikan beliau mengadakan ceramah politik di tiga buah negeri di AS.

Dalam ceramah terakhirnya di Cape Girardeau, Missouri, Trump mengisytiharkan bahawa agenda Parti Republikan adalah ‘impian rakyat AS’.

Sementara itu, calon-calon Parti Demokrat juga menganggap pilihan raya kali ini sebagai bersejarah.

“Pengundi akan menentukan masa hadapan bukan sahaja untuk Texas tetapi masa depan negara ini, bukan sahaja untuk generasi ini, malah untuk semua generasi kemudian,” kata calon Demokrat, Beto O’Rourke yang mencabar Senator Ted Cruz di negeri kubu kuat Republikan, Texas.

Pilihan raya separuh penggal ke­rap kali dilihat sebagai pungutan suara rakyat terhadap dasar Presiden mereka menjelang pilihan raya Pre­siden AS pada tahun 2020. – AFP