Jabatan Polis Galveston telah mengemukakan permohonan maaf Isnin lalu selepas gambar perbuatan dua anggota mereka itu tular dalam media sosial dan dikaitkan dengan gambaran perhambaan serta isu hak asasi.

Gambar itu menunjukkan pergelangan tangan Donald Neely (gambar kecil), 43, diikat dengan tali dan dia ditarik anggota polis, Patrick Brosch dan A. Smith ke Unit Rondaan Berkuda, selepas gelandangan tersebut ditahan atas kesalahan menceroboh kawasan larangan.

Pihak polis kemudian menjelaskan Neely yang mempunyai masalah mental telah digari dan pergelangan tangannya bukan diikat, sebaliknya tali itu diikat pada gari tersebut.

Bagaimanapun, satu rakaman video yang muncul tidak lama kemudian menyebabkan semakin ramai berang selepas sebilangan daripada mereka percaya anggota polis terbabit meletakkan sebelum membuang satu beg pada kepala Neely.

“Neely sebenarnya memakai topeng kimpalan ketika dia ditahan. Topeng itu hampir terjatuh dan anggota kami telah meminta kebenaran daripada Neely untuk membuang dan menyimpannya sementara mereka bergerak,” jelas seorang pegawai maklumat awam Polis Galveston kepada akhbar Daily Mail.

Beberapa individu turut menyatakan di media sosial bahawa Neely memang sering dilihat memakai topeng kimpalan tersebut.

Anggota penguat kuasa memaklumkan mereka memang mengenali Neely dan dia kerap dikenakan tindakan kerana menceroboh kawasan tersebut sebelum ini. Neely juga sudah berulang kali diberikan amaran sebelum kejadian dia ditarik dengan tali itu tular.

Kedua-dua pegawai polis tersebut dilaporkan memakai kamera badan sepanjang insiden itu dan setakat ini tidak akan dikenakan sebarang tindakan disiplin. 
– Agensi