Dinamakan Laman Pasaran Wall Street (WSM), platform itu mengendalikan urusniaga pelbagai barang terlarang termasuk dadah jenis kokain, he­roin, ganja dan amphetamine di samping data curi, dokumen palsu serta perisian jahat.

Platform yang dilindungi kod itu mempunyai lebih sejuta akaun pelanggan, 5,000 penjual berdaftar dan lebih 60,000 tawaran jualan, demikian menurut pendakwa raya Frankfurt dan afidavit yang difailkan pendakwa raya Amerika Syarikat (AS) di Los Angeles.

“WSM beroperasi seperti laman e-dagang konvensional. Bagaimanapun, kewujudannya adalah untuk memperdagangkan barang seludup dan kontraban,” kata pendakwa raya AS.

Tiga pentadbir laman web WSM warga Jerman telah ditangkap, manakala lelaki keempat yang bertindak sebagai orang tengah untuk plaform tersebut sedang diburu di Brazil.

Sebagai tambahan, dua suspek yang merupakan vendor dan penyeludup dadah utama untuk WSM juga ditangkap dalam satu operasi antarabangsa melibatkan Polis Eropah, Jerman, Belanda dan Biro Siasatan Persekutuan(FBI).

Dilancarkan pada tahun 2016, WSM berkembang pesat sejak tiga tahun lalu untuk menjadi laman web gelap terbesar selepas pihak berkuasa menutup platform gelap AlphaBay dan Hansa dalam tahun 2017. – AFP