Kerajaan negara miskin itu bukan sahaja mengadakan sambutan karpet merah untuk pemimpin-pemimpin dunia semasa sidang dua hari itu, malah turut membeli 40 kereta mewah jenis Maserati bagi tujuan pengangkutan mereka.

“Kumpulan anggota polis dan tentera berkumpul di luar Parlimen bagi menuntut elaun APEC mereka,” kata jurucakap polis PNG, Dominic Kakas kepada agensi berita AFP. Menurutnya, pasukan polis lain sedang menangani isu tersebut.

“Setakat ini, kami tidak menerima sebarang laporan kecederaan,” ujar Kakas sambil menambah, beliau tidak pasti berapa ramai anggota polis dan tentera yang berhimpun di luar bangunan Parlimen di Port Moresby itu.

Seorang saksi bagaimanapun memberitahu AFP bahawa beratus-ratus anggota polis dan askar menunjuk perasaan di tangga Parlimen kerana menuntut bayaran elaun khas APEC berjumlah 350 kina (RM435).

“Situasi di luar Parlimen amat tegang. Terdapat berpuluh-puluh kenderaan polis dan tentera,” kata saksi berkenaan. – AFP