Wanita berusia 37 tahun yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri pada Oktober 2017 itu menjadi tajuk berita utama di seluruh dunia kerana membidas soalan semasa kempen pilihan raya berhubung sama beliau mahu mempunyai anak.

Ardern sebaliknya ber­kata, kehamilan tidak menjejaskan peluang kerjaya wanita.

Bakal ibu tersebut tersenyum lebar ketika muncul bersama teman hidupnya, Clarke Gayford di rumah mereka untuk mengumumkan berita ‘mengejut tetapi mengujakan’ itu semalam.

“Saya dan Clarke sangat teruja untuk berkongsi bahawa kami bakal menyambut kehadiran cahaya mata pertama pada Jun depan.

“Berita ini sudah lama kami simpan, jadi kami perlu biasakan diri untuk menghebahkannya,” kata Ardern kepada pemberita.

Pemimpin berkarisma itu menikmati kejayaan pantas dalam arena politik apabila beliau memenangi jawatan Perdana Menteri pada tahun lalu hanya beberapa bulan selepas mengambil alih kepimpinan Parti Buruh.

Tambah Ardern, beliau akan mengambil cuti selama enam minggu selepas melahirkan anak dan tugasnya akan dipangku oleh Timbalan Perdana Menteri, Winston Peter.

Walaupun bercuti, kata Ardern lagi, beliau mahu menjadi pemimpin yang mudah untuk dihubungi dan sepanjang tempoh tersebut.

Pasangan itu sudah lama berusaha untuk mendapatkan cahaya mata.

Dalam pada itu, Perdana Menteri Australia, Malcolm Turnbull mengucapkan tahniah kepada Ardern atas berita gembira itu.

“Apabila kami bercakap pagi ini (semalam), anda kelihatan lebih teruja berbanding ketika memenangi pilihan raya umum,” kata Turnbull di laman Twitter. – AFP