Hujan lebat mencetuskan banjir dan tanah runtuh di barat Jepun pada minggu lalu serta membawa kemusnahan terutamanya di kawasan kejiranan yang dibina di lereng-lereng curam sejak beberapa dekad lalu.

Kerajaan berkata, 176 orang maut, manakala puluhan lagi hilang dalam bencana itu, terburuk di Jepun sejak tahun 1982.

Abe membatalkan lawatan ke luar negara untuk menangani krisis tersebut, namun dikritik selepas sekeping gambar di Twitter menunjukkan beliau dan menteri pertahanan berparti bersama wakil-wakil rakyat ketika hujan turun semakin lebat.

Selepas meninjau kerosakan dari sebuah helikopter di Okayama yang merupakan salah satu kawasan paling teruk terjejas, Abe melawat sebuah pusat pemindahan yang penuh sesak. Beliau duduk di lantai untuk bercakap dengan orang ramai, sebahagian besarnya warga tua dan bertanya tentang keadaan kesihatan mereka.

Terdahulu, kerajaan pimpinannya menjanjikan peruntukan awal berjumlah AS$4 bilion (RM16.1 bilion) untuk membaiki kerosakan yang berlaku dan bajet khas jika diperlukan kelak.

Sementara itu, anggota-anggota penyelamat berdepan cuaca panas terik ketika menggeledah timbunan kayu dan lumpur bagi mencari mayat mangsa dengan bantuan anjing pengesan.

Suhu di kawasan terjejas bencana di Okayama dan Hiroshima yang mencecah 33 darjah Celsius mendorong usaha ditumpukan untuk mencegah serangan strok haba dalam kalangan pekerja penyelamat dan ribuan mangsa yang berlindung di pusat-pusat penempatan sementara.

Pihak berkuasa menggunakan media sosial untuk memberi amaran tentang bahaya tambahan, berpunca daripada penyakit bawaan makanan dengan orang ramai digesa membasuh tangan dan mengambil langkah lain untuk mencegah kes keracunan makanan.

Cuaca panas pula diramal mencetuskan lebih banyak kejadian ribut petir, manakala pihak berkuasa memberi amaran bahawa kejadian tanah runtuh baharu mungkin berlaku di lereng-lereng gunung. – Reuters