RAMALLAH, Wilayah Pa­lestin – Kepimpinan tertinggi Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO) membuka laluan untuk menggantung pengiktirafannya terhadap Israel tetapi enggan melaksanakan langkah tersebut dengan serta-merta.

PLO mengiktiraf Israel sejak tahun 1988. Penggantungan itu bukan sahaja akan mengancam hubungan beberapa dekad antara Rejim Zionis dan kepimpinan Pa­lestin yang berhaluan sederhana, malah ia boleh menjejaskan koordinasi keselamatan oleh kedua-dua belah pihak.

Penggantungan itu juga akan dilihat sebagai ‘pukulan maut’ terhadap penyelesaian dua negara yang hampir berkecai berikutan langkah White House mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel pada Disember 2017.

Jawatankuasa Eksekutif PLO mengeluarkan satu kenyataan selepas bermesyuarat selama tiga jam kelmarin dengan berkata, ia akan menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk mengkaji penggantungan itu.

Badan tertinggi PLO itu bermesyuarat untuk kali pertama sejak satu lagi cabang pertubuhan tersebut, Majlis Pusat Palestin mengusulkan langkah berkenaan bulan lalu.

Dalam keputusannya, Jawatankuasa Eksekutif PLO menggesa kerajaan Pihak Berkuasa Palestin pimpinan Presiden Mahmoud Abbas supaya ‘segera memulakan persiapan pelan dan projek untuk melaksanakan langkah penggantungan pengiktirafan Israel pada peringkat politik, pentadbiran, ekonomi serta keselamatan’.

Kepimpinan Palestin sema­kin kecewa dengan pentadbiran Amerika Syarikat(AS), teruta­ma­nya selepas pengiktirafan penuh kontroversi oleh Presiden Do­nald Trump itu yang bercanggah dengan konsensus antarabangsa supaya status Baitulmuqaddis diputuskan menerusi rundingan damai.

Penduduk dan pemimpin Pa­lestin yang juga melihat Baitulmuqaddis sebagai ibu kota mereka, bertindak memutuskan hubungan dengan Trump.

Palestin menganggap keputusan AS itu mengakibatkan hubungan mereka dengan Israel terancam. – AFP