Suruhanjaya Antirasuah Kebangsaan (NACC) meletakkan Prawit, 72, yang juga bekas panglima angkatan tentera dan Menteri Pertahanan Thailand di bawah siasatannya selepas beliau tampil dalam gambar Kabinet pada Disember 2017 de­ngan memakai cincin berlian dan jam tangan mewah sehingga mengundang kritikan di media sosial.

Pengguna internet di Thailand mengecam 25 jam tangan mewah yang pernah dipakai oleh bekas jeneral itu tetapi tidak diisytiharkan kepada NACC.

Prawit berkata, beliau meminjam jam-jam tangan itu daripada rakan-rakannya, namun akan meletak jawatan sekira itu yang rakyat mahukan.

Menurut akta antirasuah Thailand, semua ahli politik perlu mengisytiharkan segala aset mereka.

Semalam, satu petisyen di laman web Change.org yang meminta peletakan jawatan Prawit itu mendapat lebih 61,200 tandatangan.

Prawit menghadiri satu persida­ngan pertahanan di Singapura semalam, manakala seorang jurucakap berkata bahawa beliau berada dalam keadaan sihat tanpa mengulas isu jam tangan tersebut. – Reuters