Penganjur berkata, kira-kira 80,000 petani dan buruh ladang menyertai demonstrasi selama dua hari itu yang turut melibatkan penyerahan petisyen kepada Presiden India.

“Kami mempunyai tiga tuntutan utama. Pembatalan hutang, harga maksimum untuk hasil pertanian dan sidang khas Parlimen bagi membincangkan krisis ini,” kata Ajit Nawale daripada kumpulan Maharastra Kisan Sabha. Kumpulan itu merupakan antara 200 pertubuhan petani yang menganjurkan perarakan di New Delhi.

Protes itu menyaksikan petani dari seluruh India membanjiri kota raya New Delhi dengan menaiki tren dan bas sejak kelmarin untuk berhimpun di Ramlila Grounds sebelum berarak ke Parlimen.

Penunjuk perasaan itu berarak sambil membawa sepanduk tertera slogan ‘Jatuhkan Kerajaan Modi’ dan ‘Hidup Penyatuan Petani’ ketika beribu-ribu anggota polis berkawal di jalanan.

“Krisis petani menjadi dua kali ganda lebih buruk sejak lima tahun lalu,” kata seorang petani dari ne­geri Punjab, Sadhu Singh.

“Kami kerugian untuk setiap butir bijirin yang kami hasilkan,” tambahnya.

Lebih 300,000 petani India membunuh diri sejak dua dekad lalu terutamanya kerana masalah pengairan, tanaman tidak menjadi dan kegagalan membayar balik hutang.

Hampir 55 peratus daripada 1.25 bilion penduduk India secara langsung dan tidak langsung bergantung kepada sektor pertanian. – AFP