Laporan awal nahas itu oleh agensi keselamatan pengangkutan Indonesia turut memberi tumpuan kepada kelemahan budaya keselamatan syarikat pener­bangan tambang murah itu. Ia bagaimanapun tidak menyebut punca nahas pada 29 Oktober lalu itu yang mengorbankan ke­semua 189 penumpang dan kru penerbangan Lion Air JT610.

Laporan muktamad pula hanya akan diketahui tahun depan.

Pesawat Boeing 737 MAX itu hilang dari radar kira-kira 13 minit selepas berlepas dari Jakarta dan menjunam ke dalam Laut Jawa sejurus selepas juruterbangnya meminta untuk kembali ke Jakarta.

Pasukan penyiasat berkata, Lion Air masih menggunakan pesawat itu walaupun kerosakan berulang kali pada tolok kelajuan udara kapal terbang Boeing 737 itu gagal dibaiki termasuk semasa penerbangan kedua ter­akhirnya dari Bali ke Jakarta.

“Pesawat itu tidak lagi layak berada di udara dan sepatutnya tidak dibenarkan terbang,” kata ketua Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Nasional, Nur­cahyo Utomo.

Penemuan itu meningkatkan kebimbangan bahawa terdapat masalah dengan sistem pesawat komersial antara yang terbaharu dan paling canggih di dunia itu.

“Bagaimanapun, kami belum pasti sama ada masalah ini berpunca daripada Boeing ataupun Lion Air,” kata penganalisis aviasi, Gerry Soejatman.

Susulan hasil siasatan tersebut, agensi keselamatan pe­ngangkutan itu mengarahkan Lion Air untuk mengambil langkah perlu bagi meningkatkan budaya keselamatannya.

Di sebalik rekod keselamatan yang mencurigakan dan banyak aduan diterima, syarikat induk Lion Air, Lion Air Group mendominasi 50 peratus pasaran domestik kurang 20 tahun selepas beroperasi untuk muncul sebagai syarikat penerbangan terbesar di Asia Tenggara. – AFP