“Trump komited memberikan jaminan keselamatan kepada DPRK dan Jong-un mengulangi komitmen yang teguh untuk melucutkan senjata nuklear sepenuhnya di Semenanjung Korea,” kata satu kenyataan bersama yang dikeluarkan selepas sidang bersejarah mereka di Singapura. DPRK atau Republik Demokratik Rakyat Korea merupakan nama rasmi Korea Utara.

Trump berkata, beliau menjangkakan proses perlucutan senjata nuklear akan bermula ‘dengan sangat cepat’. Setiausaha Negara AS, Mike Pompeo dan pegawai Korea Utara akan mengadakan rundingan susulan ‘pada tarikh seawal mungkin’, kata kenyataan bersama itu.

Dokumen bersama itu bagaimanapun tidak memberikan butiran mengenai bagaimana perlucutan senjata nuklear itu akan dicapai. Ia juga tidak menyebut mengenai sekatan antarabangsa yang melumpuhkan ekonomi Korea Utara kerana meneruskan program senjata nuklearnya.

Kenyataan tersebut juga tidak menyebut tentang perjanjian damai untuk menamatkan Perang Korea secara rasmi. Pihak yang bertempur dalam Perang Korea dari tahun 1950 hingga 1953 secara teknikalnya masih berperang, berikutan konflik yang meragut jutaan nyawa itu berakhir dengan genca­tan senjata.

Namun, kenyataan bersama kedua-dua pemimpin itu ada mengatakan bahawa Washington dan Pyongyang bersetuju untuk mencari dan menghantar pulang saki-baki tawanan Perang Korea.

Sekiranya kenyataan bersama itu benar-benar membawa kepada pengurangan ketegangan berkekalan, ia boleh mengubah landskap keselamatan di Asia Timur Laut, sama seperti lawatan Presiden AS, Richard Nixon ke Beijing pada 1972 yang membawa kepada transformasi China.

Sebelum menandatangani dokumen kenyataan bersama itu Jong-un berkata, beliau dan Trump mengadakan pertemuan bersejarah ‘dan memutuskan untuk melupakan sengketa silam. Dunia akan melihat perubahan besar.

Trump pula berkata, beliau membentuk ‘ikatan sangat istimewa’ dengan Jong-un dan hubungan dengan Korea Utara akan menjadi sangat berbeza.

“Orang ramai akan menjadi sangat kagum serta gembira dan kami akan menangani masalah yang sangat berbahaya kepada dunia,” kata Trump.

Ditanya sama ada beliau akan mengundang Jong-un ke White House, Trump menjawab, sudah semestinya.
– Reuters