Abdullah Abd al-Aal, 24, ditembak pada perut semasa menyertai bantahan di sempadan Israel-Gaza, timur bandar Rafah di selatan Genting Gaza, kata seorang jurucakap kementerian itu.

Protes tersebut adalah yang pertama sejak pertempuran tercetus pada hujung ming­gu lalu.

Seramai 13 penunjuk perasaan lain ditembak rejim Zionis ketika mengadakan bantahan di beberapa kawasan di sempadan bergolak itu, kata jurucakap berkenaan.

Protes mingguan yang kerap bertukar ganas itu bermula lebih setahun lalu. Bagaimanapun, keadaan di sempadan Gaza-Israel kelmarin masih tenang berbanding Jumaat sebelum ini, kata seorang koresponden agensi berita AFP di lokasi.

Seorang jurucakap tentera Israel berkata, kira-kira 6,000 orang mengambil bahagian dalam bantahan tersebut.

Beliau dipetik sebagai berkata, beberapa letupan dikenal pasti di Genting Gaza selain beberapa cubaan mendekati pagar yang memisahkan kawasan pantai yang dikepung dari wilayah Israel.

Penunjuk perasaan mendesak Israel supaya menamatkan kepungan lebih satu dekad di Gaza.

Demonstrasi pada minggu ini dilihat sebagai ujian utama terhadap gencatan senjata rapuh yang dipersetujui antara Hamas dan Israel.

Pejuang-pejuang Palestin membedil ratusan roket ke Israel pada minggu lalu menyebabkan tentera rejim Zionis melancarkan serangan ke atas berpuluh-puluh sasaran di Genting Gaza.

Seramai 25 penduduk Gaza terbunuh termasuk sembilan pejuang Palestin di samping empat orang awam Israel.

Gencatan senjata itu diumumkan oleh beberapa kumpulan politik Palestin pada Isnin lalu.