Polis menyatakan laporan pertama diterima di Manhattan kira-kira pukul 7 pagi (waktu tempatan) selepas seorang penumpang melihat sebuah periuk ditinggalkan di stesen tren bawah tanah Fulton Street dekat Pusat Dagangan Dunia, satu kawasan kejiranan dibina semula selepas serangan 11 September 2001.

Periuk nasi kedua dijumpai di satu lagi lokasi berbeza di stesen yang sama.

Stesen berkenaan dikosongkan, perkhidmatan untuk dua laluan tren bawah tanah digantung dan tren di landasan lain ke Fulton Street turut dilencongkan.

Ketika polis mengumumkan objek itu tidak berbahaya, objek ketiga pula ditemui di 16th Street di daerah Chelsea, Manhattan.

Objek ketiga itu juga didapati sebuah periuk nasi, kata Timbalan Komisioner Risikan dan Antikeganasan di Jabatan Polis New York, John Miller.

Pada September 2016, sebuah periuk tekanan me­ngandungi bahan letupan buatan sendiri meletup di Chelsea hingga mencederakan 31 mangsa dan mencetuskan panik di bandar berkenaan.

Rakaman kamera pengawasan menunjukkan dua periuk nasi yang dijumpai di stesen Fulton diletakkan oleh seorang lelaki sama, kata Miller.

Lelaki berkenaan dilaporkan menolak sebuah troli beli-belah mengandungi periuk nasi berkenaan. Jabatan Polis New York turut berkongsi gambar lelaki berkulit putih yang dikehendaki bagi membantu siasatan.

Miller menyatakan beliau tidak pasti sama ada periuk ketiga itu mempunyai kaitan dengan dua lagi yang ditemui di stesen tersebut walaupun kesemuanya adalah model sama.

Pihak Berkuasa Pengangkutan Metropolitan Bandar Raya New York mengesahkan jadual laluan tren di stesen Fulton Street disambung semula selepas selesai siasatan polis kelmarin. – AFP/Agensi