Warga Australia, Brenton Tarrant sebelum ini didakwa atas satu pertuduhan membunuh bagi membolehkan polis terus menahannya.

Bagaimanapun, kata polis semalam, semua kematian dan kecederaan dalam serangan pada 15 Mac lalu itu akan disabitkan dalam semakan pertuduhan terhadap tertuduh semasa perbicaraan seterusnya.

“Lelaki yang ditangkap berhubung serangan keganasan di Christ­church itu akan berdepan 50 pertuduhan membunuh dan 39 dakwaan cuba membunuh apabila dia dihadapkan ke Mahkamah Tinggi Christchurch hari ini,” kata polis dalam satu kenyataan ringkas.

Perbicaraan Tarrant, 28, akan berlangsung menerusi sidang video yang menghubungkan mahkamah berkenaan dan sebuah penjara kawalan maksimum tempat dia ditahan di Auckland.

Penyerang itu memecat peguam lantikan mahkamah bagi mewaki­linya selepas sebutan kes pada 16 Mac lepas dalam percubaan untuk mem­bela diri sendiri dan menjadikan perbicaraannya sebagai platform propaganda ideologi ketuanan kulit putih.

Mahkamah menyatakan bahawa Tarrant tidak perlu membuat sebarang pe­ngakuan pada perbicaraan hari ini dan turut mela­rang pihak media daripada merakam gambar atau video tertuduh.

Pada bulan lalu, Jabatan Penjara New Zealand mendedahkan bahawa Tarrant diasingkan daripada banduan-banduan lain dan boleh dipantau sepanjang masa, sama ada oleh pengawal atau sistem televisyen litar tertutup (CCTV).

Dia juga tidak mendapat akses kepada televisyen, radio, akhbar dan pelawat. – AFP