Peguam bela kepada Brenton Tarrant memberitahu Mahkamah Tinggi Christchurch bahawa kliennya mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan sekali gus menimbulkan kemarahan daripada mangsa yang terselamat dan waris kepada mangsa terkorban dalam serangan pada 15 Mac lalu.

Visual Tarrant yang mendakwa dirinya pelampau kulit putih itu disiarkan menerusi alat rangkaian pandang dengar daripada sebuah mahkamah kawalan keselamatan maksimum di Auckland untuk pendengaran kes.

Dia yang berusia 28 tahun dan seorang warga Australia mahu dibicarakan pada tahun depan untuk 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan aktiviti keganasan.

Senyuman ceria tertuduh menimbulkan kemarahan mangsa-mangsa yang masih bersedih daripada serangan paling buruk dalam sejarah moden New Zealand.

Tarrant didakwa melepaskan tembakan rambang dalam Masjid Al Noor yang dipenuhi jemaah ketika solat Jumaat sebelum melakukan serangan di Masjid Linwood di kawasan luar bandar sambil melakukan penstriman langsung di media sosial.

Mahkamah diberitahu bahawa penilaian kesihatan mental mendapati Tarrant sihat untuk menjalani perbicaraan.

“Tiada isu timbul berhubung kesihatan mental tertuduh untuk menjalani perbicaraan,” kata Hakim Cameron Mander dalam satu kenyataan selepas sesi pendengaran berkenaan.

Hakim menetapkan 4 Mei 2020 sebagai tarikh perbicaraan kes tersebut. Ia dijangka berlangsung sekurang-kurangnya enam minggu.

Tarrant yang berada dalam tahanan sementara akan hadir semula ke mahkamah untuk satu penilaian semula kes pada 15 Ogos ini.

Mander melarang agensi-agensi media daripada merakam gambar atau video terbaharu Tarrant di mahkamah dan beliau membenarkan penggunaan imej daripada sesi pendengaran awal sebelum ini. – AFP