Kerosakan terhadap penerbangan Lion Air JT610 itu yang terhempas ke dalam laut dan menyebabkan semua 189 penumpang dan krunya terbunuh didedahkan selepas maklumat daripada perakam data penerbangan dimuat turun, kata Ketua Komite Nasional Keselamatan Transportasi Indonesia (KNKT), Soerjanto Tjahjono kelmarin.

Susulan penemuan tersebut, KNKT meminta maklum balas Boeing dan Pentadbiran Aviasi Persekutuan (FAA) mengenai tindakan yang perlu dilakukan bagi mengelakkan masalah serupa berulang pada pesawat jenis sama di seluruh dunia.

“Kami sedang membuat rumusan bersama NTSB dan Boeing berhubung pemeriksaan terperinci melibatkan penunjuk kelajuan udara itu,” ujar Soerjanto, merujuk kepada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional (NTSB) yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS).

Indonesia belum membuat permintaan pemeriksaan rasmi terhadap armada jet Boeing 737 MAX, manakala pemeriksaan menyeluruh tersebut belum dirancang dan hanya akan ditentukan selepas lebih banyak data dianalisa, kata sumber yang arif berhubung perkara itu kepada agensi berita Reuters.

FAA yang menyelia industri aviasi AS belum menerima sebarang laporan tentang kerosakan penunjuk kelajuan udara melibatkan pesawat Boeing 737 MAX itu di AS.

Setakat ini, masih tidak dapat dipastikan sama ada kerosakan pada jet yang terhempas itu berpunca daripada isu mekanikal ataupun penyelenggaraan.

“Kami belum tahu punca masalahnya, apa pembaikan yang dilakukan, apa pula buku rujukan mereka dan apa komponen yang dibuang,” kata ketua jawatankuasa siasatan KNKT, Nurcahyo Utomo.

“Kami cuba mencari jawapan kepada semua persoalan ini, apa sebenarnya kerosakan pada JT610 dan bagaimana ia dibaiki,” jelasnya.

Pakar-pakar keselamatan juga berkata bahawa masih terlalu awal untuk mengenal pasti punca nahas pada 29 Oktober lalu itu yang berlaku 13 minit selepas penerbangan tersebut berlepas dari Jakarta menuju ke bandar utama di Kepulauan Bangka Belitung, Pangkal Pinang.

Boeing sehingga kini telah menyerahkan sebanyak 219 pesawat 737 MAX kepada pelanggannya di seluruh dunia, manakala sejumlah 4,564 kapal terbang itu masih belum dise­rahkan.

Sementara itu, pesawat Lion Air tersebut disahkan berkecai akibat hentaman kuat selepas terhempas di permukaan laut di perairan Tanjung Karawang pada 29 Oktober lepas.

Soerjanto berkata, pesawat itu tidak meletup di udara, sebaliknya berkecai selepas terhempas di laut akibat kelajuan tinggi dan hentaman kuat.

“Pesawat itu meledak atau pecah (berkecai) selepas menyentuh air, serpihan-serpihan pesawat ditemui berselerakan di radius 250 meter di dasar laut,” katanya.

Setakat operasi pencarian pesawat itu yang memasuki hari ke-9 semalam, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menemui serpihan-serpihan pesawat, enjin dan roda pesawat, barangan peribadi milik penumpang serta cebisan dan anggota mayat para penumpang. – Reuters/Bernama