Slobodan Praljak, 72, menghadiri perbicaraan rayuannya di Belanda pagi hari ini.

Dia yang merupakan bekas ketua tentera Croatia sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 20 tahun kerana jenayah perang di Mostar Timur.

Ketika mendengar keputusan panel hakim Tribunal Jenayah Antarabangsa bahawa hukuman ke atasnya dikekalkan, Praljak kelihatan meminum daripada sebuah botol kecil berwarna coklat selepas menjerit: “Saya bukan penjenayah perang.”

Ketua hakim kemudian meminta tirai dilabuhkan, manakala perbicaraan rayuan di mahkamah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu itu ditangguhkan.

Seorang pengawal mahkamah memberitahu wartawan bahawa Praljak telah diberikan rawatan perubatan, namun Stesen televisyen Croatia kemudian melaporkan bahawa dia telah meninggal dunia.

Praljak merupakan seorang daripada enam bekas pemimpin politik dan tentera Croat-Bosnia yang hadir ke  mahkamah rayuan itu.

Mereka mengemukakan rayuan berhubung hukuman penjara kerana terlibat dalam jenayah ketika militia Croatia cuba mewujudkan sebuah negeri kecil untuk bangsa Croat di Bosnia dengan mengusir orang Islam dari bandar dan perkampungan semasa  perang pada 1992 hingga 1995.- Agensi