Akhbar Jakarta Post melaporkan, Badan Pengawas Pemilihan Umum (Bawaslu) mengemukakan cadangan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Umum (KPU) berhubung keperluan teknikal dan logistik untuk proses pe­ngundian semula itu.

Menurut data KPU kelmarin, suruhanjaya itu menerima permohonan pengundian semula daripada 2,700 pusat pengundian di 31 wilayah.

Pusat-pusat mengundi yang memfailkan laporan itu merangkumi 0.3 peratus daripada jumlah keseluruhan 813,350 fasiliti tersebut yang beroperasi pada pilihan raya umum (Pemilu), 17 April lalu.

Pengerusi KPU, Arief Budiman berkata, daripada 2,700 permohonan tersebut, 1,511 daripadanya telah diproses.

“Kami berharap dapat memproses semua permohonan ini dalam tempoh 10 hari,” katanya kelmarin.

Pesuruhjaya KPU, Ilham Saputra pula berkata, Bawaslu dalam proses mengemukakan saranannya kepada suruhanjaya berkenaan.

“Kebanyakan permohonan pengundian semula dilakukan kerana mereka (pegawai pusat pengundian) membiarkan pengundi-pengundi luar dari daerah pengundian, yang tidak layak dimasukkan dalam senarai pengundi khas (DPK) membuang undi. Kami akan mengkaji semua kes dan me­ngadakan pengundian semula” kata Ilham.

Data menunjukkan daripada kira-kira 2,700 permohonan yang diterima KPU, 2,600 daripadanya adalah permohonan untuk mengadakan pengundian semula.

Sementara itu, Sumatera Barat mempunyai paling ba­nyak permohonan undian semula dengan 56 kes. Wilayah itu bagaimanapun belum lagi menghantar jadual untuk mengadakan proses tersebut.

Ketua KPU wilayah tersebut, Amnasmen berkata, Bawaslu mencadangkan agar 90 pusat pengundian di 19 buah bandar dan daerah mengadakan pe­ngundian semula termasuk Padang.

Menurutnya, pengundian semula perlu dilakukan pada 27 April, 10 hari selepas Pemilu diadakan. – AFP