Ketua SWAT bandar Nanning, Zeng Hao, 42, meniarap selama dua jam bersama selaras rifel 7.62mm di celah kangkang seorang rakan sekerja yang menyembunyikan kedudukannya, namun terpaksa melepaskan tembakan dari jarak lebih 60 meter apabila suspek mahu menikam tebusannya.

“Saya sudah berkhidmat sebagai polis selama 19 tahun dan menyertai banyak operasi menyelamatkan tebusan, tetapi inilah kali pertama saya terpaksa menembak seorang suspek,” kata Zeng Hao.

Rakaman kamera keselamatan menunjukkan suspek itu, yang hanya dikenali dengan nama keluarga Huang, 18, secara rambang mengambil wanita tersebut sebagai tebusan sekitar pukul 4.56 petang (waktu tempatan) sebelum mengheretnya ke satu sudut di stesen kereta api bawah tanah Jalan Xinmin.

Polis Nanning masih belum mendedahkan motif penyerang tersebut mengambil tebusan tetapi suspek didakwa pernah menerima bantuan kaunseling psikologi.

Akhbar Nanning Evening News melaporkan suspek mempunyai kecenderungan mencederakan diri sendiri malah menuntut polis memberi sepucuk pistol untuk membunuh diri atau dia akan membunuh tebusannya.

Zeng Hao dan empat rakan setugasnya menerima anugerah khas Jumaat lalu di atas keberanian dan kecekapan mereka menguruskan operasi melibatkan tebusan tersebut. Wanita itu berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan. – Agensi

Zheng Hao menembak suspek setelah dua jam meniarap dengan senjatanya berada di celah kangkang seorang pegawai polis di Nanning, China baru-baru ini.

Mangsa (dalam bulatan) tersebut dipilih secara rawak oleh suspek.