Ahmed Ouda ditembak semasa pertempuran dengan askar Israel di utara bandar Gaza ketika beribu-ribu penduduk Palestin menyertai protes di kawasan sempadan.

Sekurang-kurangnya lima lagi penunjuk perasan turut ditembak mati, manakala seorang petani maut terkena peluru kereta kebal Rejim Zionis, kata pihak berkuasa Palestin.

Kementerian Kesihatan Palestin berkata, sekurang-kurangnya 500 penduduk Palestin cedera akibat terkena peluru hidup, peluru penabur ataupun gas pemedih mata yang dibedil tentera Israel di beberapa lokasi di sepanjang pagar sempadan itu.

Seorang jurucakap tentera zionis mengesahkan mengenai serangan berkenaan.

Penduduk Palestin di Genting Gaza merancang tunjuk perasaan selama enam minggu dengan mendirikan khemah untuk menuntut supaya pelarian Palestin dibenarkan pulang ke tanah air mereka yang kini menjadi wilayah Israel.

Mereka telah mendirikan berpuluh-puluh khemah di lima lokasi di sepanjang sempadan Israel-Gaza.

Tentera Israel berkata, beribu-ribu penduduk Palestin menggolekkan tayar yang dibakar dan memba­ling batu ke arah askar Israel yang berkawal di sempadan, manakala tentera Rejim Zionis bertindak me­nembak mereka.

Jurucakap Hamas, Fawzi Barhoum memuji penglibatan begitu ramai penduduk Palestin dalam tunjuk perasaan itu.

“Kumpulan penunjuk perasaan yang begitu ramai membayangkan keazaman rakyat Palestin menuntut hak untuk kembali ke tanah air mereka dan menamatkan kepungan Israel. Tiada tentera yang boleh menyekat hak ini,” katanya.

Demonstrasi semalam adalah yang pertama dalam siri bantahan yang dirancang di Gaza pada minggu-minggu akan datang.

Tunjuk perasaan dijangka memuncak pada 15 Mei depan sempena ulang tahun ke-70 kewujudan Israel.

Warga Gaza merancang mengadakan perarakan menyeberangi pagar sempadan pada hari tersebut.

Terdahulu, tentera Israel berkata bahawa ia menambah bilangan askar di sepanjang sempadan Israel-Gaza di samping mengerahkan pa­sukan penembak curi, unit komando dan polis pencegah rusuhan.

“Kami juga sedang mengenal pasti percubaan untuk melancarkan serangan keganasan dengan menggunakan rusuhan itu sebagai helah,” kata komander tentera Israel di zon berkenaan, Mejar Jeneral Eyal Zamir.

Beliau menyalahkan pergerakan Hamas yang memerintah Gaza atas rusuhan tersebut dan meminta penduduk Gaza menjauhkan diri dari kawasan sempadan. – AFP