Langit Jakarta mencatatkan kualiti udara tidak sihat sejak beberapa minggu lalu di sebalik tindakan drastik untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas termasuk sistem nombor plat genap dan ganjil serta penutupan sebahagian sekolah dan jalan bertol.

Indeks kualiti udara Jakarta berlegar pada bacaan sekitar 107 semalam dan boleh mendatangkan bahaya kepada individu yang sensitif terhadap pencemaran udara termasuk penghidap masalah pernafasan.

Indeks itu bagaimanapun kerap melepasi 150 bulan ini, bacaan yang dianggap mengancam kesihatan populasi awam. Bacaan lebih 300 pula adalah berbahaya kepada manusia.

Kira-kira 16,000 atlet dan pegawai dari 45 buah negara bersama peminat sukan membanjiri Jakarta dan bandar Palembang untuk temasya sukan itu yang bermula hari ini.

Atlet yang bertanding di stadium tertutup tidak akan terjejas, namun lain pula kisahnya untuk acara luar seperti atletik, memanah, besbal, bola lisut, ragbi dan bola sepak, kata pakar pencemaran udara di Universiti Indonesia, Budi Haryanto.

Bertanding dalam persekitaran udara kotor membataskan keupayaan atlet untuk mempamerkan prestasi terbaik mereka, tambahnya. Situasi itu diburukkan lagi dengan suhu panas 32 darjah Celsius di Jakarta.

Punca utama pencemaran udara di ibu negara Indonesia itu ialah asap kenderaan. Terdapat kira-kira 18 juta kereta di kota raya yang didiami 10 juta penduduk itu, manakala jumlah tersebut meningkat setiap tahun.

Sementara itu, masalah jerebu yang melanda saban tahun kembali menyelubungi Palembang. Bandar lain yang berdepan cabaran pencemaran udara termasuk Beijing ketika ia bersiap sedia menjadi tuan rumah sukan Olimpik 2008. – AFP